• 2025-08-23 11:25 AM
Penunggang Yamaha RXZ maut kemalangan di Jalan Raya Timur Barat Gerik

GERIK: Seorang penunggang motosikal Yamaha RXZ maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 45, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli.

Mangsa Roziman Abu Aziz berusia 36 tahun dari Baling, Kedah meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Gerik.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Samad Othman berkata kejadian berlaku kira-kira 9 pagi apabila motosikal mangsa dari arah Gerik ke Jeli hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

“Mangsa kemudiannya melanggar bahagian kanan bampar treler jenis Volvo dipandu lelaki tempatan berusia 44 tahun,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Samad berkata bedah siasat mengesahkan punca kematian disebabkan kecederaan dalaman pada abdomen akibat kemalangan.

Beliau berkata pemandu treler tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kejadian berlaku semasa mangsa difahamkan dalam perjalanan ke Perhimpunan RXZ 7.0 di Gong Badak, Kuala Terengganu. – Bernama