SHAH ALAM: Penutupan dan lencongan laluan di Persiaran Dato Menteri di hadapan Plaza Perabot, arah Bulatan Kayangan, akan dilanjutkan selama sebulan pada Julai bagi membolehkan kerja-kerja berkaitan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dijalankan.

Setia Utama LRT 3 Sdn Bhd dalam kenyataan hari ini menyatakan bahawa pemandu kenderaan dari Pejabat Pos Besar Shah Alam menuju ke arah Jalan Ikhtisas akan dilencongkan ke Persiaran Dato Menteri dan perlu memasuki Persiaran Bandar Raya dan pergi ke arah Persiaran Perbandaran sebelum keluar di Jalan Ikhtisas.

“(Manakala untuk) Pemandu dari Jalan Ikhtisas menghala ke Pejabat Pos Besar Shah Alam akan dilencongkan ke Persiaran Dato Menteri, menghala terus ke Bulatan Kayangan dan membuat pusingan U di kawasan perumahan Seksyen 12 sebelum menuju terus ke Pejabat Pos Besar Shah Alam,“ menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu juga menyatakan bahawa lencongan itu dilaksanakan berikutan kelulusan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami orang ramai.