• 2025-08-03 09:34 PM

KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya dalam sejarah negara, Malaysia akhirnya boleh berbangga apabila melahirkan Grandmaster (GM) pertama dalam sukan catur — gelaran tertinggi yang dianugerahkan oleh Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE).

Yeoh Li Tian, 25, anak jati Petaling Jaya, secara rasmi menerima gelaran berprestij itu selepas meraih norma ketiga dan melepasi penarafan 2500 dalam ranking FIDE, susulan kejayaan menjuarai Kejohanan Jemputan Catur GM-IM 2025 yang berlangsung di ibu negara, hari ini.

Pengiktirafan itu menjadikan Li Tian sebahagian daripada kelompok elit kurang 2,000 Grandmaster di seluruh dunia, dan merupakan satu penghormatan sepanjang hayat dalam dunia catur.

Bercakap kepada Bernama, Li Tian yang mula bermain catur seawal usia tiga tahun mengakui bahawa perjalanan untuk mencapai tahap ini bukan mudah dan menuntut pengorbanan besar.

“Saya selalu beritahu orang bahawa saya tiada zaman kanak-kanak. Itu mungkin pengorbanan terbesar saya. Sejak kecil, malah semasa di sekolah rendah, saya pergi sekolah, balik, buat kerja rumah dan terus fokus kepada catur,” katanya.

Mengulas kejayaan meraih gelaran GM di tanah air sendiri, Li Tian menyifatkan ia sebagai momen paling bermakna, selepas hampir mencapai sasaran itu pada Sukan SEA 2022 di Hanoi.

“Saya rasa sangat lega dan gembira kerana berjaya melengkapkan norma terakhir di Malaysia. Saya harap ia dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai pemain tempatan untuk terus bermain catur,” katanya.

Mengintai ke hadapan, Li Tian masih belum membuat keputusan mengenai langkah seterusnya, namun memberi bayangan akan menyertai Sukan SEA di Thailand hujung tahun ini.

“Persekutuan Catur Malaysia (MCF) sudah pun menghubungi saya berkenaan Sukan SEA. Saya rasa peluang untuk saya bermain kali ini sangat tinggi,” katanya.

Sementara itu, Presiden MCF Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi menyifatkan pencapaian Li Tian sebagai satu detik bersejarah dalam arena catur negara.

Katanya MCF kini lebih bersemangat untuk melahirkan lebih ramai Grandmaster tempatan dalam usaha memperkukuh ekosistem dan pembangunan sukan itu di peringkat nasional.

“Saya rasa pencapaian ini merupakan satu perkembangan yang sihat buat sukan catur di Malaysia.

“Kita tidak mahu ia terhenti setakat ini sahaja, sebaliknya kita mahu lebih ramai GM dari Malaysia sebagaimana yang dilakukan negara jiran seperti Indonesia, Vietnam dan Filipina,” katanya- BERNAMA