Your Title

NARATHIWAT: Mahkamah Wilayah Narathiwat hari ini membebaskan penyanyi dikir barat Malaysia Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Eda Ezrin, dan suaminya serta empat lagi individu daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda.

Panel dua hakim dalam keputusan itu mendapati, tiada bukti yang boleh mengaitkan kesemua tertuduh dengan pemilikan dadah itu.

Mereka yang dibebaskan iaitu Wan Norshaheeda Azlin, 30, suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35, dan empat yang lain Eridieka Mohd Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26.

Mahkamah turut mengambil kira rakaman kamera litar tertutup di sebuah hotel di Sungai Golok yang tidak menunjukkan bahawa keenam-enam individu itu membawa masuk dadah ke dalam bilik mereka.

“Sebaliknya, terdapat tiga individu lain yang membawa masuk dadah berkenaan ke dalam bilik keenam-enam tertuduh,” menurut hakim itu yang membacakan keputusannya dalam bahasa Thailand yang diterjemah ke dalam bahasa Malaysia.

Panel dua hakim itu membuat keputusan tersebut setelah meneliti keterangan saksi pendakwaan selepas tiga hari perbicaraan kes itu, bulan lepas.

Sebelum ini, kesemua mereka dihukum penjara enam bulan dan denda RM526 (4,000 baht matawang Thailand) selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah jenis pil kuda.

Bagaimanapun, mereka tidak perlu membayar denda itu kerana telah selesai menjalani tempoh pemenjaraan selama lebih empat bulan dan berkelakuan baik sepanjang tempoh reman di Penjara Wilayah Narathiwat.

Sementara itu, Eridieka dan Zuhaira turut didenda dengan jumlah yang sama selepas mereka sebelum ini mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah. Namun, mereka juga tidak perlu membayar denda kerana telah menjalani tempoh pemenjaraan di penjara.

Sementara itu, peguam tertuduh, Sufian Abdul Aziz ketika ditemui pemberita berkata pihak pendakwaan boleh memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dalam tempoh sebulan.

“Buat masa ini, keenam-enam anak guam saya masih belum boleh dibenarkan untuk keluar dan perlu berada di dalam penjara sementara menunggu pihak pendakwaan memfailkan rayuan.

“Sekiranya tiada sebarang rayuan, mereka akan dibenarkan pulang ke Malaysia,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan enam rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi dikir barat wanita popular ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di pekan Golok pada 1 Nov tahun lepas kerana didakwa memiliki lebih 6,000 biji pil kuda.