LAHAD DATU: Semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi diarahkan menambah baik mutu rangkaian Internet di sepanjang jalan-jalan utama di negara ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata langkah itu selaras dengan dasar ‘di mana ada jalan, di situ ada Internet’ yang menekankan aspek mutu rangkaian Internet dan memastikan liputan tersedia di sepanjang jalan termasuk lebuh raya.
Fahmi berkata setakat ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah mengenal pasti empat lokasi dari Tawau hingga Sapagaya di sini meliputi jalan protokol atau jalan utama yang menghadapi masalah Internet.
“Jadi arahan saya, dengan dasar ‘di mana ada jalan, di situ ada Internet’, agar syarikat telekomunikasi menambah baik mutu rangkaian Internet di jalan-jalan utama ini.
“Arahan saya juga dengan dasar itu, agar syarikat telekomunikasi bekerjasama... misalnya syarikat telekomunikasi A ini di menara telekomunikasi itu tetapi syarikat lain boleh bekerjasama untuk memastikan ada capaian Internet di kawasan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program sembang santai Komuniti MADANI di Kampung Cocos di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Penerangan Julina Johan.
Fahmi juga berkata liputan Internet di kawasan berpenduduk di Malaysia dianggarkan mencapai 98.6 peratus jika projek pembinaan menara telekomunikasi dalam Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa Satu siap pada tahun ini.
“Untuk capai 100 peratus liputan Internet di kawasan berpenduduk, kita tidak hanya bergantung kepada pembinaan menara biasa kerana satu, kosnya tinggi... kedua, mobilisasi tempoh untuk pemasangan serta isu-isu tanah.
“Jadi, untuk JENDELA Fasa Dua perlu menggunakan pelbagai teknologi bersesuaian mengikut kawasan teknologi baharu yang boleh dimanfaatkan,” katanya.
Beliau berkata anggaran 100 peratus liputan Internet di kawasan berpenduduk dijangka tercapai dalam tempoh beberapa tahun lagi
Mengulas mengenai menara telekomunikasi Kampung Sapagaya yang ditinjaunya sebelum program itu, Fahmi berkata terdapat beberapa perkara perlu diteliti bagi memperkukuh capaian Internet di kawasan sekitar termasuk pemasangan bateri tambahan.
“Bateri tambahan itu bagi membantu mengurus isu Internet supaya tidak terputus talian sekiranya berlaku gangguan elektrik... penduduk memaklumkan pada Ogos lepas contohnya dalam minggu terakhir, hampir setiap malam berlaku gangguan bekalan elektrik,” katanya - BERNAMA