SEREMBAN: Pertimbangan cadangan untuk mewajibkan sijil halal kepada pengusaha restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol akan memberi nilai tambah yang lebih baik terhadap perniagaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata cadangan tersebut bukanlah sesuatu yang merumitkan sebaliknya turut memudahkan pihak berkaitan dalam menguruskan sijil halal.

“Cadangan itu juga memberi kelebihan dan nilai tambah kepada semua jika pengusaha kedai makanan itu memiliki sijil halal malah boleh menarik lebih ramai pelanggan. Kita perlu tahu sesiapa sahaja boleh memiliki sijil halal itu.

“Semua rakyat Malaysia (boleh memiliki sijil halal) kerana itu akan memberi kelebihan kepada pemilik kedai itu sendiri,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Sanawi kali ke-53 Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata menerusi pensijilan halal itu juga akan membantu memberi lebih keyakinan kepada orang ramai terutama pelanggan sekali gus meningkatkan kepercayaan dan kesedaran mereka terhadap perkara berkaitan halal.

“Tetapi yang menjadi isu adalah bagaimana untuk kita mahu menyediakan suasana kondusif kepada semua bagi memudahkan mereka mendapatkan sijil halal,“ katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang mempertimbangkan cadangan kemungkinan untuk menjadikan pensijilan halal wajib untuk restoran dan premis makanan yang tidak menyajikan daging babi atau alkohol.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dilaporkan berkata pada masa ini, pensijilan halal adalah pilihan bagi pengendali perniagaan makanan.