JITRA: Projek Penyelenggaraan Tandas Kementerian Pendidikan (KPM) dilihat sebagai satu inisiatif yang dapat membantu keselesaan, kebersihan dan keselamatan (3K) murid sekolah di bawah KPM.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lapan, Changlun, Mafezzul Mohamad berkata menerusi projek tersebut sebanyak 22 unit tandas di sekolah itu telah diperbaiki dan ditambah untuk kegunaan 350 murid, 30 guru dan empat kakitangan sekolah.
“Sekolah mula beroperasi pada 1963 dan semua infrastruktur dan fasiliti termasuk tandas adalah seperti asal semasa awal pembinaan sekolah ini. Jadi, apabila sudah terlalu lama penggunaannya, banyak kerosakan yang berlaku, antaranya kebocoran dan paip tersumbat di tandas murid dan guru.
“Apabila sekolah terpilih di bawah projek ini, ia sesuatu yang ditunggu-tunggu dan semua kerja pembaikan dan penambahan unit tandas yang dilakukan tahun lepas itu hanya mengambil masa kira-kira dua bulan lebih untuk disiapkan,” katanya ketika ditemui Bernama di Changlun dekat sini, hari ini.
Mafezzul berkata sebelum projek berkenaan bermula beliau telah meminta pihak kontraktor untuk mengambil kira aspek keselesaan, kebersihan dan keselamatan antaranya menukar tandas cangkung kepada tandas duduk berikutan ada murid yang tidak pandai menggunakan tandas cangkung.
“Tandas cangkung sebenarnya lebih sesuai untuk kegunaan orang dewasa sebab itu hampir 90 peratus tandas cangkung di sekolah ini telah ditukar dengan tandas duduk untuk keselesaan dan keselamatan murid-murid. Kita juga pastikan pam tandas yang digunakan berkualiti bagi mengurangkan kekerapan rosak.
“Kebocoran yang berlaku di beberapa unit tandas lama juga telah dibaiki. Turut dilakukan ialah kerja-kerja pembaikan pendawaian kerana sebelum ini banyak lampu yang tidak menyala. Sekarang ini pukul 7 pagi masih gelap jadi bila lampu semua berfungsi, keselamatan murid-murid dapat dijaga,” katanya.
Selain itu katanya, beberapa unit tandas baharu juga ditambah bagi memastikan kuantiti tandas mencukupi untuk kegunaan semua murid dan guru di sekolah itu.
Bagi memastikan semua tandas berkenaan dijaga dengan baik dan sentiasa bersih, beliau berkata pihak sekolah telah mengadakan sesi tunjuk ajar kepada murid mengenai cara mengepam dengan baik serta membersihkan tandas selepas setiap kali penggunaan.
“Selain itu, murid-murid tahap dua juga ada membantu memeriksa dan membersihkan tandas walaupun sebenarnya tidak perlu kerana ia telah dibersihkan oleh petugas kebersihan. Mereka ambil inisiatif sendiri untuk pastikan tandas yang diselenggara itu berada dalam keadaan bersih,” katanya.
Inisiatif penyelenggaraan tandas adalah selaras dengan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Konvensyen Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat yang menginginkan kemudahan tandas yang bersih dan selamat untuk keselesaan lebih lima juta pelajar dan 409,161 guru di negara ini. - Bernama