IPOH: Perbincangan untuk menyenaraikan tanah jerlus ke dalam skop bantuan sebagai salah satu kejadian bencana, telah dibincangkan Jawatankuasa Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) di peringkat negeri dan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata bagaimanapun perkara itu, memerlukan kelulusan di peringkat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan sehingga kini ia masih belum diwartakan sebagai kategori bencana.

“Namun begitu, permohonan bantuan masih boleh dihantar untuk diproses, dengan disertakan bersama laporan teknikal daripada Jabatan Pertanian untuk permohonan bagi bantuan TBTP, dan kelulusan permohonan tertakluk kepada Jawatankuasa Teknikal Induk di peringkat negeri dan kementerian,” katanya pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Hakimi Hamzi Mohd Hayat (PN-Titi Serong), yang mahu tahu adakah kerajaan berhasrat memberikan bantuan ihsan kepada pesawah yang terkesan dengan bencana tanah jerlus.

Sebelum ini media melaporkan sawah seluas 595 hektar di daerah Kerian, tidak dapat dituai musim ini kerana masalah tanah jerlus, menyebab pesawah mengalami kerugian.

Tanah jerlus merupakan salah satu fenomena yang mengakibatkan kerugian kepada pesawah, apabila hasil tanaman tidak boleh dituai dengan menggunakan jentera berat disebabkan tayar yang tenggelam akibat tanah lembut.

Sementara itu Mohd Zolkafly berkata di peringkat Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), beberapa langkah telah dan akan diambil, antaranya program perataan tanah sawah.

“Ia bertujuan untuk membentuk pemukaan tanah rata untuk menyokong sistem pengairan yang sempurna dan ia merupakan keadaan terbaik untuk pertumbuhan pokok padi.

“Ia melibatkan proses di mana kedalaman air yang seragam di dalam lot sawah yang rata akan membantu pengagihan air di dalam sawah lebih cekap dan seragam, dan akan mengurangkan keadaan air yang bertakung,” katanya.–Bernama