IPOH: Perak memfokuskan pelaksanaan 359 projek fizikal dengan peruntukan RM1.28 bilion di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) negeri itu tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata ia termasuk projek utama seperti pembekalan kelengkapan, peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembelian bangunan, pembinaan baru, penyenggaraan, serta perolehan tanah.

“Sementara itu, sebanyak 63 projek lain yang berjumlah RM267 juta atau 17 peratus adalah projek bukan fizikal yang meliputi pembiayaan dana, program-program ICT, kajian serta program latihan,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, beliau mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Perak (MTPNg) bersama ketua jabatan negeri dan Persekutuan yang bertujuan mengukuhkan pemantauan pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan di Perak supaya berjalan mengikut garis masa ditetapkan.

Menurutnya antara yang dibincangkan termasuk perkembangan terkini Projek Persekutuan di bawah RP4 RMK12 negeri Perak tahun ini yang membabitkan 422 program pembangunan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.55 bilion.

Sementara itu, selaras dengan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menambah baik keperluan pelajar melalui projek peningkatan dan penyelenggaraan kecil, Saarani memaklumkan Perak selesai menyempurnakan projek berkenaan pada tahun lepas.

“Ia membabitkan 795 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun lalu dengan peruntukan sejumlah RM55.65 juta,“ katanya.

Katanya projek-projek pembangunan yang telah selesai pada 2023 antaranya adalah pembinaan Jambatan Bagan Datuk, Daerah Hilir Perak ke Kampung Sejagop, Daerah Perak Tengah dan pembinaan Politeknik Bagan Datoh.

Selain itu, pembinaan asrama, dewan makan, surau, padang dan lain-lain kemudahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bawong, Sungai Siput serta kerja naik taraf Galeri Pangkor dan kemudahan pelancongan di Dataran Nelayan Pulau Pangkor turut selesai.

“Saya turut dimaklumkan berkenaan pelaksanaan Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial oleh Pejabat Pembangunan Negeri (ICU), yang menyatukan semua agensi pemberi bantuan di bawah satu platform, banyak membantu mempermudah golongan miskin tegar dalam mendapatkan bantuan yang mereka perlukan,“ katanya.

Beliau berkata keberhasilan program itu dibuktikan dengan penurunan jumlah miskin tegar dalam data eKasih sebanyak 58 peratus, daripada 9,402 Ketua Isi Rumah pada 31 Jan 2023 kepada hanya 3,911 Ketua Isi Rumah pada 31 Dis 2023. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image