TELUK INTAN: Perak menyasarkan 20 usahawan di negeri itu dapat memperluas pasaran dengan mengetengahkan produk tempatan di luar negara, sepanjang tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Salbiah Mohamed berkata pihaknya dengan kerjasama Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) sentiasa berusaha membawa para usahawan menyertai pelbagai ekspo dan pameran di luar negara.
Beliau berkata antara pameran atau ekspo perdagangan yang disertai usahawan Perak ialah “Brunei Consumer Fair 2025”, “World Expo Osaka 2025”, dan “Fine Food New Zealand 2025” yang akan berlangsung pada bulan ini.
“Saya selalu menekankan kepada agensi terlibat supaya bersama-sama membantu usahawan atau syarikat-syarikat yang berpotensi untuk dibawa ke luar negara (mempromosikan produk mereka) dengan menyelesaikan masalah-masalah yang mereka hadapi.
“Kerajaan negeri sememangnya amat menyokong usahawan Perak supaya berani meneroka pasaran global yang sebenarnya memberi peluang dan ruang lebih luas serta besar dan tidak hanya terlalu bergantung pada pasaran di dalam negara,“ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan kontena produk kordial Syarikat Ameen Products Sdn Bhd ke negara Mali, Afrika di Taman Industri Ringan, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Salbiah berkata antara cabaran yang dihadapi usahawan untuk memperluas perniagaan atau meningkatkan kapasiti produk mereka ialah kekurangan taman perindustrian di beberapa daerah di negeri ini.
“Apabila sebahagian usahawan yang kita hendak perluas produk atau pasaran, mereka menghadapi kekangan dari segi sizing untuk mengembangkan produk.
“Jadi, kerajaan negeri melihat keperluan (membangunkan taman perindustrian) dengan mengenal pasti kawasan-kawasan yang bersesuaian,“ katanya.