TUMPAT: Peranan guru dan alumni dalam pendidikan melangkaui aspek akademik semata-mata, malah menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh perpaduan komuniti dan pembentukan karakter pelajar.
Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Che Roslan Che Daud, menekankan bahawa kejayaan institusi pendidikan bergantung pada sokongan komuniti, termasuk guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta alumni.
“Alumni dan PIBG ialah nadi penting dalam memperkasa sekolah melalui bimbingan kerjaya, kepimpinan pelajar, kesedaran sivik serta perpaduan komuniti. Program seperti ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya platform strategik untuk memupuk nilai kenegaraan dan jati diri,“ katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Santuni MADANI Rukun Tetangga dan Sekolah Angkat MADANI bersama PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahmud Mahyidin, Pasir Pekan.
Alumni juga berperanan sebagai penghubung antara sekolah dengan agensi kerajaan dan swasta bagi membuka peluang pembelajaran luar bilik darjah seperti latihan industri dan program kesukarelawanan.
Che Roslan menambah bahawa hubungan erat antara generasi terdahulu dan pelapis baharu penting dalam mewujudkan semangat kebersamaan.
“Saya yakin alumni SMK Mahmud Mahyidin mampu menjadi agen perubahan dan inspirasi kepada pelajar. Perkongsian pengalaman serta cabaran hidup mampu memberi motivasi kepada pelajar untuk mencontohi jejak langkah mereka,“ ujarnya.
Mengenai inisiatif Sekolah Angkat MADANI, beliau memaklumkan bahawa RM100,000 diperuntukkan untuk pembangunan bilik darjah pintar atau ‘Smart Class’ di sekolah tersebut.
“Smart Class ini akan menjadikan proses pembelajaran lebih interaktif dan melahirkan pelajar celik teknologi serta berdaya saing,“ jelasnya.
Sebanyak 73 sekolah di Kelantan, termasuk 25 di Tumpat, telah menyertai program ini. – Bernama