SEREMBAN: Tindakan mengharamkan penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape di Negeri Sembilan memerlukan peraturan dan undang-undang yang jelas supaya pelaksanaannya benar-benar berkesan.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata tanpa peraturan atau undang-undang khusus, pengharaman itu mungkin tidak akan berkesan kepada masyarakat kerana penjualan dan penggunaannya masih berleluasa seolah-olah tiada larangan dikuatkuasakan.
“Memang dipersetujui Majlis Raja-Raja untuk negeri mengharamkan vape dan nampaknya semua negeri bersetuju, cuma apabila ada persetujuan tak ada peraturan itu yang perlu dikaji semula supaya ada undang-undang yang akan dilaksanakan,“ katanya.
Beliau menegaskan bahawa pengumuman pengharaman tanpa penguatkuasaan yang jelas hanya akan menjadikan larangan itu tidak bermakna.
Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menyokong penuh pengharaman vape tetapi menekankan perlunya kerangka perundangan yang kukuh.
“Kita tak boleh laksanakannya kalau tak ada peraturan dan undang-undang khusus, kena faham ia harus seiring, maksudnya keputusan mengharamkan itu harus bersama dengan undang-undang, baru dapat dilaksanakan dengan baik,“ jelasnya.
Dalam sesi pertanyaan lisan, beliau memohon pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan vape yang dicampur dengan bahan terlarang seperti magic mushroom tidak terus berada dalam pasaran.
Di bawah Seksyen 3 Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, semua produk merokok yang ingin diedarkan di Malaysia perlu didaftarkan dengan KKM terlebih dahulu.
“Produk merokok yang mengandungi bahan terlarang seperti Psylocibin tidak akan diluluskan pendaftarannya,“ tegas Aminuddin. - Bernama