• 2025-09-27 01:49 PM

PORT DICKSON: Perintah Khidmat Masyarakat tidak melebihi 12 jam dalam tempoh enam bulan terhadap pesalah bagi kes pembuangan sampah kecil akan berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata usaha itu bertujuan mendidik dan memberi keinsafan agar mereka lebih peka terhadap kebersihan persekitaran.

Beliau menambah ia juga bagi mencegah kesalahan berulang serta mengurangkan risiko pencemaran dan penyakit bawaan vektor seperti tikus, lalat dan nyamuk.

Nga berkata pelaksanaan perintah tersebut bergantung kepada keputusan Mahkamah Majistret sama ada dilakukan dalam sehari atau dibahagikan kepada beberapa sesi mengikut tempoh jam.

“Sesiapa membuang sampah dari kereta, membuang puntung rokok, tisu, plastik, tin minuman atau pembungkus makanan di tempat awam akan didenda memakai jaket khas serta mengutip sampah kecil di tempat awam,“ katanya.

Pesalah juga akan diarahkan mencuci longkang serta mencuci tandas awam selama tempoh tersebut.

“Pendekatan ini bukan sahaja bersifat korektif malah membawa nilai insaniah yang tinggi dengan mendedahkan pesalah secara langsung kepada kesan perbuatan mereka terhadap alam sekitar,“ ujarnya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hari Cuci Malaysia Peringkat Kebangsaan sempena World Clean-up Day 2025.

Nga berkata Korea Selatan, Sweden, Singapura dan Jepun antara negara yang berjaya melaksanakan pendekatan serupa.

Beliau berkata ini membuktikan keberkesanannya dalam mendidik rakyat dan menunjukkan rakyat Malaysia juga mampu mempraktikkannya dengan lebih baik.

Media sebelum ini melaporkan Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Pindaan 2025, RUU Jalan, Parit dan Bangunan Pindaan 2025 serta RUU Kerajaan Tempatan Pindaan 2025.

Dalam pada itu, beliau berkata lebih 100,000 peserta terlibat dalam gotong-royong yang diadakan serentak di seluruh negara bersempena program hari ini.

Program tersebut turut menyasarkan pengumpulan minyak masak terpakai terbanyak sekurang-kurangnya 3,000 kilogram sehari dalam usaha mencipta dua rekod baharu Malaysia Book of Records.

Nga berkata objektif program tersebut antara lain untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kebersihan, kitar semula dan penjagaan alam sekitar.

Ia juga bertujuan menggalakkan penyertaan menyeluruh merangkumi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan, komuniti, institusi pendidikan dan individu.

Beliau berkata Hari Cuci Malaysia bukan sekadar inisiatif pembersihan sebaliknya menjadi simbol nilai teras Malaysia MADANI.

Nga menekankan ia menekan aspek kemampanan, kesejahteraan rakyat dan perpaduan masyarakat majmuk.

“Hari Cuci Malaysia merupakan inisiatif tahunan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dengan menetapkan Sabtu terakhir September setiap tahun sebagai Hari Cuci Malaysia peringkat kebangsaan dan menjadikan ia agenda tetap negara,“ katanya.

Dalam pada itu, Nga turut memaklumkan KPKT dipilih oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai pemenang anugerah Global Zero Waste Foundation United Nations.

Beliau menyatakan ini merupakan satu pengiktirafan kepada negara. – Bernama