PUTRAJAYA:- Balu dan dua anak lelaki kepada mendiang P. Karuna Nithi yang meninggal dunia dalam tahanan polis 11 tahun lepas, gagal memperoleh kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak saman kedua mereka terhadap kerajaan dan polis.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Datuk Nallini Pathmanathan menolak permohonan balu Karuna Nithi, R. Kaliamah dan dua anak lelakinya K. Yugesh Varan dan K. Kisho Kumar untuk kebenaran merayu dalam saman kedua keluarga itu.

Hakim lain ialah Datuk Nordin Hassan and Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Hakim Nallini berkata hal ini kerana isu dalam saman kedua mereka ialah res judicata iaitu suatu perkara sudah diadili oleh mahkamah yang berwibawa, justeru ia mungkin tidak diteruskan oleh pihak sama.

“Malangnya, kami terpaksa menolak permohonan kebenaran merayu tanpa perintah mengenai kos,“ katanya dalam prosiding secara dalam talian yang dikendalikan melalui Zoom.

Beliau berkata saman kedua ialah berdasarkan fakta, pihak dan isu yang sama kecuali satu persoalan undang-undang baharu dibangkitkan iaitu definisi klasik res judicata dan menambah bahawa undang-undang adalah jelas dan mahkamah terikat untuk mematuhinya.

“Ia perkara yang menyedihkan bahawa lelaki ini yang berada dalam tahanan, mengalami 49 kecederaan pada badannya. Tetapi mahkamah telah melepasi proses ini dan kami tidak boleh berbuat apa-apa (dengan dapatan itu),“ kata Hakim Nallini.

Beliau berkata isu berkaitan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan asasi seseorang telah dibahaskan.

Hakim Nallini berkata oleh kerana undang-undang sangat jelas, mahkamah tidak perlu mendengar hujahan daripada Peguam Kanan Persekutuan Donald Joseph Franklin yang mewakili 16 responden termasuk anggota polis, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan.

Terdahulu, peguam T. Manoharan yang mewakili Kaliamah dan dua anaknya berkata saman pertama difailkan di bawah Seksyen 7 Akta Undang-undang Sivil 1956, manakala saman kedua berdasarkan undang-undang awam.

Karuna Nithi ditahan pada 28 Mei 2013, namun meninggal dunia ketika berada dalam tahanan polis pada 1 Jun 2013 dengan 49 kecederaan baharu pada tubuhnya.

Pada Januari 2015, penghakiman terbuka Mahkamah Koroner memutuskan kematian Karuna Nithi disebabkan beberapa faktor termasuk dipukul oleh polis serta tahanan lain, menyebabkan si mati mengalami 49 kecederaan.

Susulan inkues itu, Kaliamah dan dua anak lelakinya memfailkan saman atas dakwaan cuai dan serangan terhadap polis dan kerajaan kerana menyebabkan kematian Karuna Nithi, di Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan pada 25 Jan 2018.

Bagaimanapun, mahkamah menolak saman keluarga itu atas alasan ia difailkan melebihi tempoh masa diperuntukkan iaitu lebih tiga tahun selepas kematian Karuna Nithi dalam tahanan pada 2013. Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan juga mengekalkan keputusan itu.

Kaliamah dan dua anaknya kemudian memfailkan satu lagi saman pada 26 Jan 2021 terhadap 16 defendan termasuk 14 anggota polis, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan untuk menuntut pampasan atas kematian Karuna Nithi.

Pada Februari 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman kedua keluarga itu dan pada 18 Okt tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan berkenaan.