KANGAR: Permohonan untuk menyertai bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia menunjukkan peningkatan mendadak, daripada 25,000 kepada 229,000 dalam tempoh dua tahun setakat 12 Julai lepas.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata peningkatan ini disebabkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan pelajar lepasan SPM mengenai kelebihan bidang TVET, termasuk tawaran gaji premium.
“Mereka dapati gaji premium cukup baik, tidak tertakluk kepada gaji minimum RM1,700. Bergantung pada kemahiran, ada kursus seperti kimpalan yang menawarkan gaji permulaan RM7,500,“ katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kangar hari ini.
Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara, menyatakan terdapat 1,398 institusi TVET di seluruh negara. Keperluan pasaran kerja dalam bidang ini tinggi, terutamanya daripada syarikat pelaburan langsung asing (FDI).
“Kita akan tambah tempat dan bidang kursus mengikut keperluan guna tenaga, termasuk AI, IoT, dan robotik. Keterlibatan pelajar TVET dalam bidang baharu ini sesuai dengan permintaan syarikat luar negara,“ jelasnya - BERNAMA