KLANG: Proses perobohan Stadium Shah Alam telah selesai lebih awal daripada jadual yang ditetapkan tanpa sebarang kelewatan, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) Datuk Saipolyazan M. Yusop.
Beliau menjelaskan bahawa kerja perobohan sepatutnya siap pada 30 Jun 2025, tetapi berjaya diselesaikan beberapa hari lebih awal. “Walaupun nampaknya baru siap sepenuhnya minggu lepas, perobohan dilaksanakan secara berfasa mengikut pelan rapi. Malah, pemasangan dinding adang kini sedang dijalankan di sekeliling kawasan projek,“ katanya.
Selain struktur atas tanah, kerja perobohan turut melibatkan substruktur seperti cerucuk dan penutup cerucuk yang telah diruntuhkan sepenuhnya empat hari lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan. Sisa runtuhan seperti batu konkrit turut digunakan semula untuk menimbun dan meninggikan paras tapak stadium antara tiga hingga empat meter daripada aras asal.
Saipolyazan turut memaklumkan bahawa kerja pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) bagi Fasa 1 dijangka bermula pada Oktober ini, selepas proses perincian reka bentuk asal selesai. “Baru-baru ini, MBI menandatangani perjanjian dengan pemaju utama, Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) bagi membangunkan semula kawasan ini,“ jelasnya.
Projek ini merangkumi pembinaan stadium, kemudahan parkir, kawasan terbuka, serta taman rekreasi Jubilee Park. Kaedah konvensional dipilih berbanding sistem binaan berindustri (IBS) untuk menjimatkan kos pembinaan.
Projek KSSA melibatkan tiga fasa dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029.