NAIROBI: Kementerian Kesihatan Kenya melaporkan peningkatan kes cacar monyet (mpox) kepada 314 kes dengan lima kematian sejak wabak itu bermula pada Julai 2024. Setiausaha Kabinet Kesihatan Aden Duale memaklumkan 33 kes sedang dirawat di fasiliti kesihatan, manakala 54 kes menjalani pengasingan di rumah.
Menurut Duale, kes mpox dilaporkan di 22 daripada 47 daerah di Kenya. Mombasa mencatat kes tertinggi iaitu 146 kes, diikuti Busia dengan 63 kes. “Dalam tempoh 24 jam lepas, empat kes baharu disahkan di Mombasa (3 kes) dan Nairobi (1 kes),“ jelasnya.
Seramai 222 pesakit telah pulih sepenuhnya, manakala kadar kematian kes kini pada 1.6 peratus. Kementerian mempergiat pengawasan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan rakan strategik. Pasukan respons pantas telah dikerahkan untuk pengesanan aktif, pemantauan kontak, dan pengurusan kes.
“Lebih 4.7 juta pengembara telah disaring di lapangan terbang dan pintu masuk lain. Kes disyaki dikenal pasti untuk siasatan lanjut,“ kata Duale.
Orang ramai dinasihatkan mengelak sentuhan dengan pesakit, menggunakan peralatan perlindungan diri, dan tidak berkongsi pakaian atau selimut. “Jangan percaya maklumat palsu yang boleh jejaskan usaha kesihatan awam,“ tegasnya. - Bernama