KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah supaya kerajaan mengambil tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan, bagi memastikan hak kedaulatan serta kepentingan negara terus kekal terpelihara.
Seri Paduka Baginda bertitah hak dan kedaulatan negara perlu dipertahankan walaupun hanya melibatkan seketul batu karang di tengah lautan.
“Tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan perlu diambil bagi memastikan hak kedaulatan serta kepentingan negara terus kekal terpelihara, walaupun hanya seketul batu karang di tengah lautan,” titah Seri Paduka Baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15, hari ini.
Istiadat pembukaan itu berlangsung serentak bagi Dewan Rakyat serta Dewan Negara dan disiarkan secara langsung menerusi saluran media rasmi, televisyen tempatan dan platform dalam talian.
Selain itu, Sultan Ibrahim bertitah kerajaan perlu bijak dalam mengekalkan hubungan diplomatik dengan semua pihak dan meningkatkan kerjasama strategik dalam menangani isu-isu serantau serta sempadan negara.
Seri Paduka Baginda bertitah Malaysia juga perlu kekal tegas mendukung prinsip keamanan, menentang keganasan dan penindasan.
“Peperangan di Gaza perlu segera ditamatkan dan keadilan undang-undang hendaklah dilaksanakan,” titah Sultan Ibrahim.
Selain itu, selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya negara ini menunjukkan keupayaan dalam memimpin dan menentukan hala tuju rantau Asia Tenggara.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 18 hari dengan menyaksikan Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja selama tujuh hari mulai 4 Feb dan diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Feb.
Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 13 hari bermula 3 Mac.