KUALA LUMPUR: Setiap bulan, Dr Norhayati Mohd Noor menerima tidak kurang daripada tiga kes berkaitan tekanan mental anak-anak dari Program Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Lembah Klang, sejak beliau mengendalikan kaunseling keluarga dan program psikopendidikan keluarga 12 tahun lepas.

Pensyarah kanan Kaunseling/Kaunselor (Keluarga & Perkahwinan) Program Asasi Pusat Genius@ Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata isu utama yang disuarakan ibu bapa yang datang menemuinya bagi mendapatkan nasihat ialah anak-anak tidak mahu ke sekolah, tidak gembira, memberontak selain banyak berdiam diri.

Hasil perjumpaan dengan anak-anak PPR, didapati kebanyakan mereka berdepan tekanan mental sangat tinggi berikutan persekitaran yang tidak selesa dengan ruang rumah sempit selain tiada kawasan untuk beriadah.

“Kebanyakan ibu bapa tidak sedar anak mereka tertekan kerana menganggap kehidupan yang dilalui anak sama seperti yang dilalui oleh mereka sebelum ini. Contohnya, tinggal di rumah sempit, (ahli) keluarga ramai.

“Ini saya simpulkan mereka (ibu bapa) tidak mempunyai empati kerana situasi persekitaran PPR dahulu berbeza dengan sekarang. Misalnya dulu, walaupun rumah sempit, masih ada kawasan beriadah berbanding sekarang sangat terhad hingga tiada tempat untuk kanak-kanak ini bermain,” katanya kepada Bernama.

Berkongsi satu kes, beliau berkata seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun yang ditemuinya di sebuah PPR, membentak tidak mahu lagi tinggal bersama keluarga kerana asyik dimarahi ibu bapa dan jiran setiap kali ingin bersukan seperti bermain bola.

Ketiadaan tempat untuk kanak-kanak ini beriadah menyebabkan mereka terpaksa bermain di dalam rumah atau di koridor sehingga mengganggu ketenteraman jiran tetangga.

“Walaupun ada sebahagian PPR mempunyai padang untuk riadah, tempat itu didominasi oleh penduduk dewasa sehingga kanak-kanak ini terpinggir, tertekan dan tidak gembira.

“Dari sudut psikologi, memang sifat kanak-kanak cenderung untuk bermain dan berseronok bagi membentuk emosi dan sosial mereka. Malah, ada kajian mendapati kanak-kanak yang kurang bermain cenderung terdedah kepada tekanan mental,” katanya.

TIDAK SELESA

Masalah yang dibangkitkan oleh pakar itu disokong oleh satu kajian baru-baru ini yang mendapati 13.4 peratus remaja dan kanak-kanak di kawasan PPR cenderung mencedera dan membunuh diri, selain lebih 12.3 peratus kanak-kanak dan remaja berusia 10 hingga 17 tahun di PPR Lembah Klang mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan kebimbangan.

Kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Tingkahlaku Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dijalankan ke atas 1,578 kanak-kanak dan remaja di 37 buah PPR di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Selain itu, Norhayati yang berpengalaman selama 28 tahun dalam bidang kaunseling, berkata antara faktor yang menyebabkan anak-anak PPR tidak bersemangat dan fokus menyiapkan kerja sekolah ialah ruang kediaman yang sempit selain tidak mempunyai kemudahan meja untuk mengulang kaji pelajaran.

Bukan itu sahaja, struktur dinding rumah yang tidak kalis bunyi, menyebabkan mereka mudah terganggu oleh pelbagai bunyi dari unit bersebelahan dan koridor.

“Bagaimanapun, saya juga pernah melihat ada anak-anak PPR yang berusaha mendapat keputusan (akademik) yang baik supaya dapat peluang memasuki sekolah berasrama dan seterusnya dapat keluar dari perumahan tersebut,” katanya.

Berhubung kecenderungan golongan muda di PPR membunuh diri, pakar kaunseling itu berkata terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada isu tersebut, antaranya masalah kewangan ibu bapa yang menyebabkan mereka tidak gembira dan berasa rendah diri apabila membandingkan kehidupan mereka dengan rakan daripada keluarga senang.

Menurutnya lagi, kehidupan di PPR jauh berbeza dengan kehidupan di kampung yang lebih bersifat homogenus (gaya hidup hampir sama) berbanding di PPR yang berbentuk heterogenus kerana komposisi penduduk yang mempunyai pelbagai tahap pendapatan.

Isu ini mendapat perhatian Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang sebelum ini dipetik berkata semua projek PPR baharu perlu menepati lima ciri, iaitu berdaya huni, senang dihubungi, mampan, kualiti baik dan komuniti bagus.

PENTINGNYA KESEJAHTERAAN KANAK-KANAK PPR

Mengulas lebih lanjut, Norhayati berkata perkembangan psikologi kanak-kanak dan remaja di PPR amat penting dalam melahirkan modal insan yang kukuh dari segi emosi, pemikiran dan fizikal. Justeru, isu kesejahteraan rumah PPR perlu ditangani sebaiknya.

“Yang membimbangkan bukan hanya isu kesakitan mental golongan remaja dan kanak-kanak sehingga ada kecenderungan membunuh diri, tetapi lebih kepada kesan kesejahteraan kehidupan masyarakat di sekeliling mereka.

“Ini kerana masalah mental bukan sahaja melibatkan individu dan keluarga itu tetapi secara keseluruhannya dengan impak yang mampu memusnahkan sesebuah negara,” katanya, menambah mereka yang hidup gembira ketika kanak-kanak hingga remaja pasti akan memiliki psikologi yang sihat.

Dalam mewujudkan PPR yang berdaya huni, beliau melihat akan keperluan pelbagai agensi kerajaan bekerjasama dalam menyediakan aktiviti, infrastruktur, psikopendidikan keluarga (aspek kewangan, pendidikan dan kesihatan) untuk perumahan tersebut.

Aspek kebajikan lain seperti peraturan yang berkaitan dengan kebersihan dan keselamatan juga perlu ditambah baik dari semasa ke semasa mengikut keperluan kanak-kanak dan remaja di perumahan PPR.

Beliau juga melihat ada keperluan untuk mewujudkan pasukan yang dapat mengukuhkan hubungan kasih sayang sesama keluarga, penduduk serta cakna akan semua penghuni atau keluarga di perumahan PPR.

“Kerjasama menjaga kesejahteraan bukan hanya pada aspek fizikal tetapi juga psikologi. Misalnya, diwujudkan peraturan yang telah dipersetujui secara majoriti seperti kanak-kanak PPR wajib berada di rumah sebelum 8 malam dan remaja sebelum 9 malam.

“Seperti di Istanbul, Turkiye, kanak-kanak yang menetap di sesebuah perumahan seperti PPR hanya boleh berada di luar hingga 5 petang, dan ibu bapa akan didenda sekiranya anak mereka masih lagi belum balik selepas waktu tersebut,“ katanya.

Selain itu, beliau turut melihat pentingnya program yang menjadi minat kanak-kanak diperhalusi serta diwujudkan kemudahan, khususnya di PPR.

PERUMAHAN BERDAYA HUNI

Sementara itu, pensyarah kanan di Jabatan Seni Bina, Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Mohd Zairul Mohd Noor melihat ada keperluan Dasar Perumahan Negara disemak semula dalam mewujudkan perumahan kos rendah baharu yang lebih kondusif, berkualiti dan selesa untuk dihuni.

Langkah itu perlu bagi memastikan pembinaan rumah awam sesuai dengan sosiobudaya dan demografi masyarakat setempat serta tidak mengikut kehendak pemaju yang hanya mementingkan keuntungan.

“Tanggungjawab membina rumah kos rendah adalah di bawah kerajaan negeri dan GLC (agensi berkaitan kerajaan) seperti SPNB (Syarikat Perumahan Negara Berhad) dan Uda Holdings Berhad. Akan berlaku masalah apabila kerajaan negeri bergantung pada pemaju swasta untuk membina perumahan ini.

“Pemaju pastinya memikirkan keuntungan, jadi akan berlaku kelemahan termasuk dari segi kemudahan dan reka bentuk bangunan serta landskap yang tidak sesuai,’’ katanya.

Sehubungan itu kata beliau, kerajaan negeri tidak boleh lepas tangan dalam memastikan pemaju membina perumahan yang turut menitikberatkan elemen kemanusiaan dan persekitaran hijau bagi memastikan penghuninya hidup dalam keadaan harmoni, positif dan tenang.

Sehubungan itu, beliau melihat ada keperluan pembinaan petempatan PPR dikaji semula supaya tidak lagi dibangunkan di lokasi terpencil serta jauh dari pembangunan dan kemudahan.

“Penghuni rumah PPR kebanyakannya adalah kelompok B40, dan mereka tidak boleh disisihkan. Dasar perumahan kos rendah pada masa depan perlu mementingkan aspek sosial, ekonomi penghuninya kerana mereka juga mempunyai hak yang sama dengan kelompok masyarakat lain untuk meningkatkan taraf hidup dan pendapatan,’’ katanya.

RUMAH TRANSIT BELIA

Mengulas isu kepadatan penghuni di dalam sesebuah unit PPR atau keluarga generasi sandwic pula, Mohd Zairul berkata kerajaan boleh memperbanyak rumah transit untuk belia termasuk mereka yang belum mempunyai kerja tetap.

Beliau berkata ketika ini, negara amat kurang menyediakan perumahan untuk belia, khususnya yang tidak mempunyai pendapatan tetap, menyebabkan mereka terpaksa tinggal bersama keluarga dan adik-beradik lain sehingga mewujudkan ketidakselesaan.

“Saya pernah buat satu kajian kes di sebuah flat di Larkin, Johor. Ada sebuah keluarga mempunyai enam orang anak yang kesemuanya telah bekerja, namun masih tinggal bersama ibu bapa kerana tidak mampu menyewa rumah lain.

“Kita boleh bayangkan betapa sesaknya rumah itu selain setiap daripada mereka mempunyai kenderaan masing-masing sehingga menyebabkan masalah kekurangan tempat letak kenderaan,” katanya.

Sementara itu, penyelidik d Pusat Kecemerlangan Pengurusan Fasiliti, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia Dr Mohd Hafizal Ishak berkata penyelenggaraan dan pengurusan sisa pepejal yang teratur juga perlu ditambah baik.

Untuk tujuan ini, semua pihak termasuk badan pengurusan bersama (JMB), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan berkaitan perlu berganding bahu dalam memastikan pengurusan fasiliti PPR berada di tahap baik.

“Melihat pada transformasi PPR dari era 90-an hingga kini, banyak perubahan yang berlaku. Kita lihat ketersediaan infrastruktur dan fasiliti di kediaman ini adalah jauh lebih baik berbanding 90-an.

“Penambahan infrastruktur dan fasiliti seperti rumah sampah, saliran dan kumbahan, tempat permainan kanak-kanak dan sistem keselamatan termasuk CCTV dapat dilihat di PPR baharu, cuma budaya menjaga kebersihan itu agak sukar diterapkan, dan kerana itu JMB, persatuan penduduk dan PBT, perlu memainkan peranan proaktif dalam mendidik penghuni secara berterusan dari segi menjaga kebersihan,’’ katanya. - Bernama