KUALA LUMPUR: Seorang perunding perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 15 pertuduhan menipu berhubung beberapa dokumen bagi menuntut dana di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) lebih RM300,000, tiga tahun lepas.

P. Anbalahgan, 61, didakwa menipu Penolong Pengarah Seksyen Pendidikan Latihan MITRA, R. Kavithah dengan memperdayakannya bahawa tiga penyata bank Hong Leong atas nama Bengkel Motor Steben, lapan resit rasmi atas nama bengkel itu, empat invois dikemukakan dalam laporan berkala dan laporan akhir Prestasi Pelaksanaan Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia Kementerian Perpaduan Negara bertarikh 14 April 2020 adalah benar dan tulen.

Perbuatannya yang mendorong Kavithah memindahkan RM331,047 ke dalam akaun Bengkel Motor Steben didakwa dilakukan di MITRA, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya pada 14 April 2020 dan 3 Dis 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Anbalahgan juga mengaku tidak bersalah atas 15 pertuduhan pilihan iaitu menggunakan tiga penyata bank Hong Leong palsu atas nama bengkel Motor Steben, lapan resit rasmi palsu atas nama bengkel itu, empat invois palsu yang dikemukakan dalam laporan berkala dan laporan akhir Prestasi Pelaksanaan Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia Kementerian Perpaduan Negara, di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhampiran dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Peguam M. Yoges memohon jaminan yang rendah kerana anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap memandangkan telah muflis sejak 2007 selain mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan gout.

“Anak guam telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan dan dia juga memohon untuk membayar wang jaminan secara ansuran,” katanya.

Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan membenarkan syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan.

“Mahkamah membenarkan tertuduh membayar wang jaminan secara ansuran iaitu RM5,000 dibayar hari ini, RM5,000 pada 4 Okt dan RM10,000 pada 11 Okt. Sebutan kes ditetapkan pada 3 Nov ini,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image