KUCHING: Peruntukan RM300 juta disalurkan kepada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak bagi proses pengambilan balik tanah untuk pembinaan projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR), kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata proses pengambilan balik tanah bagi jajaran jalan sepanjang 122 kilometer (km) itu akan diselesaikan penghujung tahun ini.

“Sementara itu, baki sepanjang 275.5 km akan diselesaikan pada 2025,” katanya dalam ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Pada 4 Nov lepas, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata fasa pertama projek SSLR meliputi laluan dari Lawas ke Persimpangan Long Lopeng di Sarawak telah mencapai 38 peratus pelaksanaan setakat September 2024.

Projek berkenaan yang bermula di Kampung Gelugus di Lawas dan melibatkan jarak 77km ke Persimpangan Long Lopeng, dijangka siap menjelang November 2026.

Ahmad Maslan juga menyatakan bahawa Surat Setuju Terima (SST) bagi fasa kedua projek SSLR telah dikeluarkan pada Mac lepas.

Sementara itu, Awang Tengah berkata bagi projek Second Trunk Road/Coastal Highway, dana berjumlah RM220 juta disalurkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak telah membolehkan Jabatan Tanah dan Survei menyelesaikan pengambilan balik tanah bagi jajaran jalan sepanjang 255.6km.

“Bagi Projek Northern Coastal Highway pula, dana berjumlah RM20 juta yang disalurkan Kerajaan Sarawak kepada Jabatan Tanah dan Survei telah menyelesaikan pengambilan balik tanah bagi jajaran jalan sepanjang 6km pada penghujung 2023.

“Sejumlah RM140 juta dana diperlukan untuk menyelesaikan pengambilan balik tanah bagi baki jajaran jalan sepanjang 82.7km,” katanya.