KOTA BHARU: Persatuan Pesawah Kelantan (Pesak) mendesak kerajaan negeri dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) untuk menyelesaikan isu bekalan air yang telah menyebabkan sebahagian sawah tidak dapat diusahakan.

Pengerusinya Zuha Ismail berkata isu berkenaan belum selesai atas pelbagai faktor termasuk isu penghadang air di Sungai Kelantan yang pecah sejak beberapa tahun lepas masih tidak diperbaiki.

“Sudah beberapa kali kami menyuarakan masalah ini namun tidak juga dibaiki oleh KADA dengan alasan kerajaan negeri tidak membenarkan sebarang pembinaan dalam Sungai Kelantan.

“Walaupun sekarang musim hujan namun pemecahan penghadang itu menyebabkan air sungai terus mengalir ke laut dan tidak memasuki pam kemubu untuk mengairi sawah serta menyebabkan petani tidak dapat mengusahakan tanaman padi,“ katanya dalam sidang media di Kampung Pagar Pisang di sini hari ini.

Berikutan kekangan itu, hanya 25 peratus daripada lebih 7,000 petani di kawasan seliaan KADA menanam padi pada musim ini manakala sebahagian besar yang lain masih menunggu masalah itu diatasi.

“Buat masa ini, sebahagian besar petani tidak menanam padi kerana bimbang dan terpaksa menanggung kerugian seperti musim lepas,“ katanya sambil berharap pihak bertanggungjawab dapat menyelesaikan segera isu berkenaan.