SINGAPURA: Seorang peserta lelaki berusia 47 tahun dalam Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) Singapura disahkan meninggal dunia di Hospital Besar Singapura selepas tumbang ketika latihan di Padang pada Sabtu.
Dalam kenyataan bersama, Kementerian Pertahanan Singapura (MINDEF) dan Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG) berkata lelaki itu merupakan anggota kontinjen perbarisan dan upacara OneChangi, dan beliau tumbang pada pukul 11.23 pagi ketika akhir sesi latihan satu komponen.
“Beliau segera dibawa ke pos perubatan di lokasi dan tiba pada 11.26 pagi, dan pegawai perubatan bertugas terus memberikan rawatan. Resusitasi kardiopulmonari (CPR) dilakukan serta-merta,” menurut kenyataan itu.
MINDEF dan CAG memaklumkan peserta berkenaan tidak memberikan tindak balas dan seterusnya dipindahkan ke dalam ambulans yang bersiap sedia pada 11.42 pagi sebelum dihantar ke Hospital Besar Singapura.
Beliau tiba di hospital pada 11.57 pagi dan disahkan meninggal dunia pada 12.19 tengah hari.
“CAG dan Jawatankuasa Eksekutif NDP 2025 sedang berhubung dengan keluarga peserta itu dan memberikan sokongan sepenuhnya dalam tempoh sukar ini. Kami merakamkan ucapan takziah a kepada keluarga beliau,” menurut kenyataan itu.
NDP 2025 pada 9 Ogos ini akan memperingati ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura.