SIBU: Pesta Air Sibu Jaya yang dianjurkan sejak 2018 berjaya menceriakan suasana sekaligus memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan lebih 40,000 penduduk pelbagai kaum dan agama.
Pesta ini juga berjaya merancakkan ekonomi tempatan di kawasan tersebut.
Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Sempurai Petrus Ngelai menyatakan bahawa perpaduan yang kukuh dan ekonomi yang berkembang akan menarik lebih ramai pelancong dari kawasan sekitar untuk berkunjung ke Sibu Jaya.
Beliau menjelaskan bahawa pesta air itu dianjurkan secara bersama oleh Amcorp Sibu Jaya Sdn Bhd dan MDLBS dengan memasuki tahun keenam penganjuran.
Pesta ini terus mendapat sokongan padu daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.
Sempurai memberitahu bahawa penganjuran pesta air sebagai acara kemuncak Karnival Sibu Jaya telah tertangguh pada 2020 dan 2021 akibat pandemik COVID-19.
“Sejak penganjurannya, Pesta Air Sibu Jaya telah menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada semua lapisan masyarakat,” katanya semasa berucap merasmikan Pesta Air Sibu Jaya 2025.
Beliau menambah bahawa pesta ini telah berkembang menjadi program tahunan yang ditunggu-tunggu oleh seluruh keluarga.
“Aktiviti dan pertandingan yang dianjurkan bukan sahaja menceriakan suasana, malah turut memperkukuh semangat perpaduan, merancakkan ekonomi tempatan dan menarik pelancong dari kawasan sekitar.”
Sempurai berkata Sibu Jaya kini didiami penduduk pelbagai bangsa dan agama dengan kemudahan awam yang semakin lengkap.
Pesta air ini benar-benar mencerminkan semangat kebersamaan serta potensi besar Sibu Jaya sebagai sebuah bandar pesat membangun.
Beliau yakin bahawa dengan sokongan berterusan daripada semua pihak, pesta ini akan terus berkembang menjadi acara ikonik yang dinanti-nantikan setiap tahun. – Bernama