IPOH: Penganjuran Program Pesta Budaya Nusantara @ Ipoh 2025 menjadi medan kepada penggiat seni budaya mempromosikan produk dan kebudayaan masing-masing. Pesta ini mengetengahkan kekayaan warisan serantau melalui pelbagai aktiviti seni dan budaya.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Loh Sze Yee berkata pesta budaya itu menjadi platform penggiat seni memaparkan kreativiti tersendiri serta meraikan kepelbagaian warisan budaya serantau.
“Penganjuran pesta ini bertujuan mengeratkan hubungan serta persahabatan pelbagai negeri dan negara melalui aktiviti seni tarian, muzik, makanan dan barangan Nusantara,” katanya pada perasmian program itu di sini malam ini.
Pesta anjuran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu menampilkan persembahan tarian dan muzik tradisional oleh kumpulan seperti Gema Warisan Budaya MBI, Kumpulan Kebudayaan Orang Asal Perak, Sekolah Seni Perak, Gendang Muhibbah Perak, dan Kumpulan Bhangra “Dhol Star” Ipoh. Turut serta delegasi kebudayaan dari Indonesia dan Thailand.
Kemuncak acara menyaksikan persembahan gabungan gendang Melayu, Cina dan India yang menyemarakkan semangat muhibah serta mencerminkan jati diri masyarakat majmuk Malaysia - BERNAMA