KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merekodkan rampasan bernilai lebih RM794 juta sepanjang pelaksanaan operasi di Kelantan, Terengganu dan Pahang bagi tempoh 1 Januari hingga akhir bulan lepas.
Pemangku Komander Briged Tenggara ACP Ijid Landu Binju berkata rampasan tertinggi melibatkan sisa elektronik (e-waste) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM410 juta.
Beliau berkata kebanyakan rampasan e-waste diperoleh menerusi Op Hazard, khususnya di Pahang yang dikenal pasti mempunyai beberapa premis dan kilang beroperasi secara tidak sah.
Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM274.99 juta hasil rampasan direkodkan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Sepanjang tempoh itu, 1,520 kes direkodkan dengan 1,388 individu ditahan serta 868 kenderaan bernilai RM79.29 juta disita manakala nilai barangan yang dirampas dianggarkan RM195.7 juta.
Ijid berkata keberhasilan itu mencerminkan komitmen dan kerjasama berterusan pasukan dalam memastikan integriti serta profesionalisme PGA kekal terpelihara.
Beliau menegaskan keazaman mereka membuktikan kemampuan mengekang jenayah rentas sempadan dan aktiviti penyeludupan.
PGA menyeru masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah rentas sempadan atau salah laku anggota yang bertugas di lapangan.
Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjamin.
Mengulas mengenai kesiapsiagaan PGA menghadapi Monsun Timur Laut, Ijid berkata PGA sentiasa bersiap siaga 24 jam sehari.
Dalam konteks PGA, kami sentiasa bersiap sedia bukan kerana tahu akan berlaku kejadian, tetapi kerana kesiapsiagaan itu sudah menjadi budaya kerja kami.
Tiada istilah siang atau malam, hujan atau panas, ini adalah tanggungjawab Batalion 8 PGA dan kami tetap bersedia memberi bantuan apabila diperlukan.
Beliau berkata semua aset logistik dan sumber manusia kini berada dalam keadaan siap siaga dan hanya menunggu arahan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan sekiranya diperlukan di lapangan. – Bernama