KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan kegiatan perlombongan emas haram di Kampung Pulai, Gua Musang, dengan merampas pelbagai peralatan dan jentera berat bernilai lebih RM1 juta.
Operasi Bersepadu Khazanah ini dilaksanakan selepas menerima aduan awam dan maklumat risikan mengenai aktiviti haram tersebut.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata serbuan dilakukan pada pukul 11 pagi di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran kaki bukit.
Pasukan menemui sebuah khemah mencurigakan dan beberapa peralatan perlombongan yang disyaki digunakan tanpa kebenaran.
“Antara barangan yang dirampas ialah tiga jengkaut pelbagai jenis tanpa nombor pendaftaran, tiga unit pam penyedut air, tiga unit palong serta empat keping karpet palong dengan anggaran keseluruhan mencecah RM1.09 juta,“ katanya.
Tiada tangkapan dibuat kerana kawasan itu dipercayai telah ditinggalkan sebelum ketibaan pasukan.
Pemerhatian selama satu jam juga tidak menemui sebarang individu di lokasi. Siasatan awal menunjukkan lombong haram itu telah beroperasi selama enam bulan.
Rampasan diserahkan kepada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kota Bharu untuk tindakan lanjut, termasuk mengesan pemilik jentera. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 137(1)(b) Enakmen Mineral 2001. – Bernama