• 2025-06-21 09:47 AM

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, New Zealand mara ke perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2025 selepas menundukkan Korea Selatan 4-3 menerusi penentuan pukulan penalti di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Pada pertembungan separuh akhir penuh debaran itu, skuad Black Sticks bagaimanapun tidak diberikan laluan mudah oleh Korea Selatan dengan perlawanan terikat 2-2 dalam 60 minit perlawanan sebenar.

Terdahulu, jaringan padang Jonty Elmes pada minit ke-10 dan Dylan Thomas sembilan minit kemudian meletakkan New Zealand di hadapan, sebelum Korea Selatan bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan pukulan sudut penalti Lim Dohyun pada minit ke-25 dan Yang Jihun minit ke-37.

Keputusan dilakar New Zealand itu mengesahkan pertemuan final menentang Pakistan esok yang sebelum itu berjaya mengatasi Perancis 3-2 juga menerusi penentuan pukulan penalti dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Kedua-dua pasukan itu terikat 3-3 dalam aksi masa penuh.