• 2025-07-03 09:51 PM

PASIR MAS: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan merampas pil kuda seberat 35.4 kilogram bernilai RM5.04 juta dalam siri serbuan di Pasir Mas dan Tumpat.

Enam individu termasuk seorang wanita ditahan dalam operasi itu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mat Zani Mohd Salahuddin Che Ali, berkata serbuan pertama dilakukan di Jalan Gajah Mati, Banggol Chica, Pasir Mas, dengan penahanan seorang lelaki berusia 34 tahun.

Pemeriksaan menemui 115 gram pil kuda dalam kereta Perodua Axia milik suspek, manakala pemeriksaan susulan di rumahnya menemui 112 gram lagi.

“Pemeriksaan di kandang lembu belakang rumah suspek mendedahkan 20 kilogram pil kuda disembunyikan dalam timbunan najis lembu,“ kata Mat Zani dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas.

Serbuan serentak turut membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki bersama Toyota Hilux miliknya, dengan rampasan 15.4 kilogram pil kuda.

Tiga lagi suspek termasuk isteri suspek pertama ditahan dalam operasi lanjut di sekitar Pasir Mas dan Tumpat.

“Kami percaya hasil jualan dadah digunakan untuk membiayai perniagaan seperti restoran makanan laut di Tanah Merah, salon, dan perniagaan dalam talian.”

“Mereka mencuci wang haram melalui perniagaan ini,“ jelasnya.

Operasi ini hasil risikan selama setahun oleh JSJN Bukit Aman dengan kerjasama Kontinjen Kelantan.

Sindiket ini dipercayai aktif sejak 2022, memasarkan pil kuda ke Kelantan, Lembah Klang, dan Johor Bahru dengan sasaran utama pelajar dan remaja.

Selain dadah, polis merampas barang kemas, beg berjenama, dan kereta mewah bernilai lebih RM1.1 juta.

Kesemua suspek direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ujian air kencing menunjukkan semua suspek negatif dadah, tetapi dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau,“ kata Mat Zani. – Bernama