• 2025-10-12 01:25 PM

KUALA LUMPUR: Status pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional bagi pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar berdasarkan data e-Kasih akan ditukar kepada biasiswa bermula tahun hadapan.

Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata inisiatif di bawah Belanjawan 2026 itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pelajar dan komitmen memastikan akses pendidikan tinggi yang inklusif.

Beliau menyatakan langkah ini diharap dapat meringankan beban kewangan pelajar dan memberi ruang kepada mereka untuk menumpukan perhatian terhadap pengajian.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pendidikan percuma PTPTN melibatkan 5,800 pelajar daripada keluarga miskin yang mengikuti pengajian di institusi pendidikan tinggi awam dengan peruntukan 120 juta ringgit setahun.

Bayaran balik PTPTN juga dikecualikan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan menengah yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di IPTA.

Peruntukan 90 juta ringgit setahun akan memberi manfaat kepada sekitar 6,000 peminjam cemerlang.

Norliza berkata pengecualian bayaran balik PTPTN adalah sebagai penghargaan kepada pelajar cemerlang.

Beliau menegaskan kerajaan terus menitikberatkan usaha melahirkan graduan berkualiti tinggi di Malaysia.

Perincian lanjut berkenaan pelaksanaan inisiatif di bawah Belanjawan 2026 akan diumumkan dalam masa terdekat.

Mengenai sekatan perjalanan ke luar negara kepada peminjam yang mampu tetapi culas membuat bayaran balik, beliau berkata kerajaan menekankan kepentingan kelestarian dana PTPTN.

PTPTN merupakan kemudahan pinjaman yang perlu dilunaskan semula bagi menjamin kesinambungan dana kepada peminjam baharu.

Sekatan perjalanan ke luar negara akan dilaksanakan secara bersasar kepada peminjam yang mempunyai tunggakan. – Bernama