• 2025-10-06 03:19 PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan mendapati sebanyak 82.5% pelatih berpuas hati dengan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 setakat ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata penilaian itu melibatkan 560 pelatih daripada Siri 1 dan Siri 2 tahun ini.

“Kementerian Pertahanan turut mengambil maklum cadangan membina daripada pelatih antaranya ialah modul ketenteraan ini diperkasa kerana pelatih mahu modul itu dapat dilaksanakan berulang kali.”

“Dia tak nak laksanakan sekali, ini adalah permintaan daripada mereka,“ katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) mengenai kajian pascanilai terhadap pelaksanaan modul PLKN.

Soalan tersebut juga ingin mengetahui sejauh mana elemen perpaduan, nilai dan persefahaman antara pelbagai komuniti dimasukkan dalam modul asas kenegaraan.

Adly turut memaklumkan penilaian luaran sedang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES).

Penilaian itu bagi mengukur aspek objektif seperti patriotisme dan perpaduan.

Laporan penuh dijangka dibentangkan pada suku kedua tahun depan.

Berhubung penerapan elemen perpaduan dalam modul kenegaraan, Adly berkata modul asas kenegaraan membentuk 30% daripada komponen PLKN.

Modul itu dirangka bagi memupuk semangat patriotisme, jati diri serta sikap toleransi antara pelbagai komuniti.

“Modul asas kenegaraan yang merupakan nadi utama kepada PLKN 3.0 ini dibangunkan untuk menyemarakkan semangat patriotisme.”

“Ia juga untuk memperkasakan jati diri serta memupuk sikap toleransi dan kebersamaan dalam kalangan pelatih kita,“ katanya.

Menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) mengenai kesinambungan program, Adly berkata peserta PLKN akan dipantau hingga ke alam pekerjaan.

Pemantauan itu bagi memastikan impak jangka panjang terhadap pembentukan jati diri dan penyebaran nilai kenegaraan dalam masyarakat.

“Ia tidak terhad seperti mana yang terdahulu, ia berakhir dengan PLKN, tetapi kita fikir bahawa mereka harus dipantau hingga ke dunia pekerjaan mereka.”

Beliau menambah penglibatan peserta PLKN dalam badan beruniform seperti askar wataniah juga menjadi sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan.

Usaha itu bagi memastikan semangat patriotisme terus disemai dalam kalangan bekas pelatih. – Bernama