RIO DE JANEIRO: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva di sini, Ahad.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan turut mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil daripada industri semikonduktor Malaysia dan Brazil serta mengambil bahagian dalam sesi meja bulat bersama ketua-ketua industri Brazil pada hari kedua lawatannya ke sini.

Perdana Menteri juga menghadiri sambutan penerokaan minyak daripada kapal terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Yinson Holdings Bhd Malaysia, Maria Quitéria yang berjaya memperoleh pengeluaran minyak pertamanya pada 15 Okt, 2024.

Kejayaan itu menandakan permulaan kontrak tetap projek dengan kadar sewa harian yang ditetapkan dibayar kepada Yinson Production selama 22.5 tahun, sehingga 2047.

FPSO Maria Quitéria merupakan aset kedua Yinson Production yang telah dihantar untuk pelanggannya Petrobras, menyusuli kejayaan penghantaran FPSO Anna Nery pada Mei 2023. FPSO Maria Quitéria mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 100,000 tong minyak sehari (bpd) dan kapasiti penyimpanan sebanyak satu juta tong.

Selepas daripada majlis berkenaan, Perdana Menteri menghadiri makan malam bersama diaspora Malaysia dan rakan-rakan Malaysia.

Anwar tiba di bandar tepian pantai yang meriah dengan aktiviti pada Sabtu selepas menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) di Lima, Peru untuk lawatan rasmi pertamanya ke Brazil dan sebagai negara tetamu untuk G20.

Malaysia bersama 16 negara lain, termasuk Chile, Qatar, Mesir, Singapura, Sepanyol, Emiriah Arab Bersatu dan Vietnam adalah negara tetamu untuk Sidang Kemuncak G20. Lawatan Anwar itu atas jemputan Presiden Brazil Lula da Silva.

Perdana Menteri diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

Delegasi Malaysia juga disertai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Seri Huang Tiong Sii, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir, dan para pegawai kanan kerajaan Malaysia yang lain.

Pada 2023, Brazil merupakan rakan dagangan ke-20 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-29 terbesar dan sumber import ke-17 terbesar.

Dalam kalangan negara Amerika Latin dan Caribbean, Brazil merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import terbesar.