BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara-negara Islam supaya terus kuat dan memperkukuh kesatuan dalam usaha menentang kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin.
Anwar yang pulang ke tanah air selepas menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, Qatar menyatakan perkara tersebut turut disuarakan ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada sidang berkenaan.
Beliau menegaskan hanya dengan kekuatan menyeluruh itu umat Islam dapat berdiri teguh menghadapi cabaran global dan mempertahankan maruah rakyat Palestin yang ditindas.
“Kita membina kekuatan dari aspek rumah tangga, dalaman negara, ekonomi, semangat, roh Islam, akhlak dan pertahanan negara masing-masing,“ katanya ketika berucap pada Himpunan Pendekar MADANI di Politeknik Seberang Perai.
Anwar turut menegaskan pendirian Malaysia tidak akan mengiktiraf Israel serta menolak sebarang bentuk hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rejim Zionis itu.
“Kita tidak boleh mengadakan hubungan diplomatik, berdagang atau berkawan dengan negara zalim yang menindas rakyat Palestin,“ tegasnya dalam sidang kemuncak tersebut.
Ketika menyampaikan Kenyataan Negara, Anwar mendesak tindakan tegas terhadap Israel dan mengecam serangan udara terbaru rejim itu ke atas Doha, ibu negara Qatar.
Beliau juga mengecam pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza dan menuntut laluan selamat untuk bantuan kemanusiaan menerusi Konvoi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla.
Turut hadir dalam majlis tersebut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Lebih 10,000 pesilat dari seluruh negara hadir menyertai himpunan bersejarah ini yang menunjukkan sokongan padu terhadap pendirian kerajaan Malaysia. – Bernama