PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan usaha menjamin kebajikan rakyat seperti membasmi kemiskinan tegar dan projek tebatan banjir disegerakan.
Anwar berkata beliau meminta Perbendaharaan memberi kelonggaran supaya dapat dipercepat melalui peruntukan segera bersama Kementerian Ekonomi dan juga proses pre-queue yang lebih cepat.
Beliau berkata ini terutamanya melibatkan projek yang melalui proses tender yang memakan masa terlalu lama.
“Mengapa kita tekankan soal tender ini, kerana saya tengok kalau kita pakai rundingan ini, kita gunakan kaedah rundingan, banyak ketelanjurannya dan ketirisannya. Jadi sebaiknya kita gunakan tender.
“Tapi tender itu kadang-kadang kalau proses biasa, akan mengambil masa terlalu panjang namun orang yang terkesan dengan banjir ini tidak mampu menunggu,” kata beliau ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.