PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meraikan Presiden Poland Andrzej Duda yang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, dengan majlis makan tengah hari rasmi di Seri Perdana di sini.

Ketibaan Anwar bersama Duda di Seri Perdana pada 12.45 tengah hari disambut oleh ucapan ‘Welcome to Malaysia’ oleh pelajar-pelajar dari Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (2), dan kemudiannya disusuli dengan persembahan tarian Randai Kreasi oleh kumpulan penari dari Istana Budaya.

Hadir sama isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan isteri Presiden Poland, Agata Kornhauser-Duda.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin turut hadir.

Terdahulu Duda diberikan sambutan rasmi di Perdana Putra, disusuli dengan perbincangan dua hala dengan Anwar.

Duda bersama rombongannya tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi tiga hari.

Wisma Putra dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata lawatan Duda itu melambangkan hubungan erat dan mesra antara Malaysia dan Poland yang berteraskan kepada prinsip saling menghormati serta kerjasama erat sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1971.

Pada 2024, Poland adalah rakan perdagangan kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah dengan jumlah dagangan dua hala meningkat 19.5 peratus kepada RM5.66 bilion berbanding 2023.

Eksport utama Malaysia ke Poland merangkumi produk elektrik dan elektronik, produk getah serta jentera manakala import utama dari Poland terdiri daripada jentera, peralatan dan alat ganti, produk elektrik dan elektronik serta kelengkapan pengangkutan.