KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam di Malaysia menghadapi cabaran membina bangsa dan negara dengan berpaksikan sunah serta meneladani perjuangan Rasulullah SAW.
Beliau menekankan bahawa Rasulullah telah meletakkan asas-asas kemadanian melalui kepimpinan Baginda di Madinah.
Asas tersebut termasuk martabat insan, prinsip keadilan, kedaulatan hukum, nilai ilmu, akhlak, dan nilai-nilai kemanusiaan berasaskan agama.
“Masyarakat madani yang dibentuk oleh Nabi SAW di Madinah itu adalah khayra ummah, iaitu masyarakat atau umat unggul,” katanya.
Umat unggul ini dicirikan dengan keimanan, nilai-nilai kebaikan, dan memberi manfaat kepada kemanusiaan sejagat.
Mereka juga beriltizam terhadap tanggungjawab mendaulati nilai-nilai ma’ruf serta membasmi gejala-gejala mungkar.
Anwar menyampaikan mesej ini menerusi hantaran di Facebook sempena Maulidur Rasul 1447H/2025M.
Beliau yakin penghayatan mendalam mengenai esensi ajaran Nabi SAW akan memandu umat Islam untuk bekerja lebih kuat.
Pendekatan ini juga akan mendorong disiplin dan optimisme terhadap masa depan negara. – Bernama