KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membuat pengumuman rasmi mengenai penghargaan khas untuk seluruh rakyat Malaysia esok. Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengesahkan perkara itu melalui hantaran di Facebook.
“YAB Perdana Menteri akan membuat pengumuman berkenaan penghargaan buat semua rakyat Malaysia pada 10.30 pagi, Rabu 23 Julai 2025. Nantikan,“ kata Fahmi.
Anwar sebelum ini telah memberi petanda mengenai pengumuman ini semasa berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya. Beliau menyatakan bahawa penghargaan luar biasa ini akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
Dalam hantaran di laman sosialnya, Perdana Menteri turut mengisyaratkan pengumuman besar sebagai tanda penghargaan kepada rakyat. Walau bagaimanapun, tiada butiran lanjut diberikan mengenai bentuk penghargaan tersebut. - Bernama