KUALA LUMPUR: Singapura bakal menyaksikan peralihan kuasa pertamanya dalam tempoh 20 tahun apabila Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengambil keputusan untuk berundur dan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada timbalannya, Lawrence Wong hari ini.

Penganalisis politik Dr Oh Ei Sun berkata Perdana Menteri baharu itu, yang gemar bermain gitar, juga seorang yang mesra media sosial sekali gus meningkatkan jangkaan bahawa beliau akan banyak melibatkan diri dengan orang biasa, baik di Singapura mahupun Malaysia.

“Penglibatan dengan pemimpin Malaysia pula akan terus mesra,“ kata Penasihat Utama di Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia ketika dihubungi Bernama hari ini.

Wong, yang merupakan seorang penjawat awam sebelum terjun ke arena politik pada 2011, adalah individu kedua yang tidak ada kena-mengena dengan keluarga pengasas Singapura untuk menerajui negara bandar itu dalam tempoh hampir enam dekad.

Dalam peralihan kepimpinan yang lancar, Wong, 51, akan menggantikan Lee, 72, yang telah berkhidmat sebagai Perdana Menteri sejak 2004.

Upacara angkat sumpah akan berlangsung pada 8 malam ini di The Istana, kediaman rasmi dan pejabat Presiden Singapura.

Oh, yang juga felow kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata tidak banyak perubahan drastik akan berlaku dalam dasar Singapura.

“Saya rasa perkara paling utama ialah, seperti yang Lawrence sendiri tegaskan, akan ada kesinambungan dan kestabilan baik di dalam mahupun luar Singapura,“ katanya.

Mengenai isu dua hala seperti perjanjian bekalan air, sempadan maritim dan pengurusan ruang udara dengan Malaysia, Oh berkata rundingan antara kedua-dua negara akan diteruskan di peringkat teknikal serta birokrasi sebelum pemimpin kedua-dua negara memberikan kelulusan mereka.

Ketika ditanya mengenai hubungan Malaysia-Singapura dalam kalangan ASEAN, beliau berkata kedua-dua negara jiran itu akan terus memainkan peranan utama membabitkan kedudukan Asia Tenggara antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Felow Majlis Profesor Negara Profesor Dr Azmi Hassan turut berkongsi pandangan sama bahawa Wong akan meneruskan legasi Lee dalam pendekatan beliau untuk mengukuhkan hubungan dua hala Singapura-Malaysia dan ASEAN secara keseluruhan.

Geostrategis itu berkata kenyataan Wong baru-baru ini bahawa Malaysia dan Singapura adalah tonggak kemakmuran Asia Tenggara menunjukkan beliau melihat negara ini sebagai rakan, bukan pesaing sama ada dari segi ekonomi atau geopolitik.

Azmi, yang juga Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), berkata seperti Lee, Wong mempunyai pendekatan pragmatik terutama dalam hal percaturan kuasa besar antara China dan AS.

“Lee mengambil pendekatan tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak walaupun dari segi stigma, Singapura lebih dekat dengan AS tetapi berbaik-baik juga dengan China,“ katanya sambil menambah beliau berpandangan Wong akan meneruskan pendekatan Lee itu.

Bagaimanapun, Azmi berkata Wong perlu mempamerkan gaya kepimpinan sendiri yang tidak dibayangi oleh keluarga Lee sebelum pilihan raya umum negara itu yang dijangka diadakan menjelang November 2025.

“Semasa era (bekas Perdana Menteri) Goh Chok Tong, Lee Hsien Loong daripada keluarga Lee Kuan Yew sedang menunggu tetapi dalam hal Lawrence Wong ini, tiada lagi ahli keluarga Lee yang menunggu. Maksudnya Wong boleh mentadbir mengikut acuannya sendiri,“ kata beliau.

Selama lebih sedekad, Malaysia dan Singapura menjadi rakan perdagangan global kedua terbesar antara satu sama lain dan yang terbesar dalam negara ASEAN. Pada 2023, nilai dagangan antara kedua-dua negara ialah RM363.13 bilion (US$79.6 bilion).

Singapura dan Malaysia akan meraikan ulang tahun ke-60 dalam hubungan dua hala pada tahun depan.