IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan kempen RFC Madani Care For Nature di Taman Eco Rimba Kledang Saiong di sini, yang bertujuan memupuk semangat cintakan alam sekitar.

Kempen itu adalah sebahagian daripada usaha Rainforest Challenge (RFC) menerap dan meningkatkan kesedaran mengenai kelestarian alam sekitar dan semangat cintakan alam semula jadi dalam kalangan masyarakat, sempena Hari Alam Sekitar Negara 21 Okt lepas.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyempurnakan simbolik pelepasan RFC Grand Final 2024 yang bakal diadakan di Perak mulai 29 Nov hingga 9 Dis ini.

RFC merupakan acara tahunan sukan lasak kenderaan 4x4 antarabangsa yang diadakan di Malaysia sejak 1997, turut diadakan di lebih 20 buah negara melalui RFC Global Series.

Sebanyak 30 pacuan empat roda terlibat dalam program hari ini, yang menyaksikan pertandingan yang memperkenalkan Malaysia di mata dunia sehingga dinobat tempat ketiga daripada 10 pertandingan permotoran paling lasak di dunia sebaris dengan Dakar Rally, BAJA Race, Le Mans 24hr Race dan Isle of Man Race.