KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Luar Brazil Mauro Vieira yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula semalam.
Menerusi perkongsian di laman Facebook, Anwar berkata pertemuan dalam suasana persahabatan itu menyentuh soal pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Brazil terutama perdagangan dan pelaburan termasuk bidang semikonduktor serta industri petroleum dan gas.
Pada pertemuan itu, kedua-dua pihak membincangkan penyertaan Malaysia dalam beberapa inisiatif di bawah Kepengerusian G20 Brazil tahun ini.
“Saya turut menekankan kepentingan menjadikan hubungan Malaysia-Brazil sebagai model kerjasama efektif dalam kalangan negara-negara Selatan Global.
“Antara bidang yang boleh diterokai bersama ialah pendidikan, penyelidikan dan pembangunan, sosioekonomi seperti perumahan dan pembasmian kemiskinan serta kesenian dan kebudayaan,” katanya.
Anwar dan Vieira juga bertukar pandangan berkaitan perkembangan serantau khususnya krisis kemanusiaan di Gaza, konflik Rusia-Ukraine serta isu di Venezuela dan Myanmar.
Perdana Menteri berkata beliau turut membangkitkan permohonan Malaysia untuk menyertai BRICS (Brazil, Rusia, India, China serta Afrika Selatan) dan Vieira telah memberi jaminan bahawa Brazil akan berusaha bersungguh-sungguh ke arah merealisasikan penyertaan negara dalam blok ekonomi itu.
Semasa pertemuan itu, Vieira menyampaikan jemputan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva kepada Anwar untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro pada November depan.