Your Title

KAHERAH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar selamat tiba di sini hari ini untuk lawatan rasmi empat hari ke Mesir atas undangan Presiden Abdel Fattah El-Sisi.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri serta delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah pada 6.30 petang waktu tempatan (12.30 tengah malam waktu Malaysia) dan ketibaan beliau disambut oleh Perdana Menteri Mesir Dr Mustafa Madbouly, Duta Besar Malaysia ke negara itu Datuk Mohd Tarid Sufian serta para pegawai lain.

Semasa di Dewan Ketibaan Presiden, Anwar memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada 16 anggota Tentera Mesir.

Mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii serta para pegawai lain.

Esok, Perdana Menteri akan diberi sambutan rasmi di Istana Al-Ittihadiya sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan El-Sisi yang disusuli mesyuarat dua hala.

Kedua-dua pemimpin juga dijadual menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) termasuk di antara Malaysia dan Al-Azhar Al-Sharif bagi Kerjasama di Fakulti Ulum Islamiah dan MoU bagi kerjasama Malaysia dan Mesir dalam bidang hal ehwal agama.

Anwar juga dijadual menyampaikan ceramah umum di Universiti Al-Azhar disusuli sesi libat urus bersama tokoh-tokoh industri tempatan.

Mesir adalah rakan perdagangan kelima terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Afrika dengan nilai dagangan RM3.35 bilion pada tahun lepas.

Bagi tempoh Januari hingga September 2024, nilai dagangan yang direkodkan antara kedua-dua negara ialah RM3 bilion iaitu peningkatan sebanyak 21.4 peratus berbanding tempoh sama pada 2023 dan pada tahun ini, nilai dagangan kedua-dua negara dijangka mengatasi prestasi tahun lepas.