KUALA LUMPUR: Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak di Lumut Waterfront pada 13 hingga 15 Jun ini menawarkan pelbagai perkhidmatan, aktiviti dan jualan yang bersesuaian dengan semua peringkat masyarakat.
Sekretariat Induk PMR 2025 dalam soalan-soalan lazim (FAQ) mengenai program itu memaklumkan sebanyak 36 reruai melibatkan kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Perak akan menawarkan lebih 200 perkhidmatan untuk kemudahan pengunjung.
Seperti PMR sebelum ini, pelbagai perkhidmatan lain turut disediakan termasuk penukaran topi keledar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kaunter saman Polis Diraja Malaysia (PDRM), Karnival Kerjaya melibatkan 10 majikan pelbagai bidang dengan 1,000 tawaran jawatan dan perkhidmatan kesihatan.
“Program ini merangkumi penyediaan penawaran pelbagai perkhidmatan titik sentuh secara langsung kepada rakyat termasuk perkhidmatan sosial, kesihatan, kebajikan, pendidikan, peluang kerjaya, serta bantuan sokongan ekonomi,” menurut sekretariat itu.
Menurut FAQ itu, perkhidmatan yang disediakan bertetapatan dengan tema PMR 2025 Perak iaitu “Pendidikan Tinggi Pemacu Negara MADANI” yang memfokuskan kepada peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemangkin dasar dan pembangunan yang berpaksikan disiplin ilmu seperti penyelidikan, inovasi dan pemikiran kritikal.
Sebanyak 66 usahawan tempatan akan terlibat dengan menawarkan pelbagai produk, selain Jualan MADANI yang menyediakan potongan harga dan tawaran istimewa dengan diskaun antara 10 hingga 30 peratus bagi barangan keperluan harian.
Menurut sekretariat itu, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta akan turut memberikan kerjasama dengan menyediakan perkhidmatan yang diperlukan rakyat.
Program itu akan bermula pada 9 pagi hingga 10 malam pada hari pertama dan kedua, manakala 9 pagi hingga 6 petang pada hari terakhir. Waktu operasi bagi perkhidmatan kementerian, agensi dan negeri pula bermula 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.
PMR 2025 Perak menyasarkan kira-kira 100,000 pengunjung dan dianjurkan secara kerjasama antara Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kerajaan Negeri Perak.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadiri program itu pada 15 Jun bagi menyempurnakan penutupan pada 2 petang.
Menurut FAQ itu, dua edisi pertama PMR 2025 di Sabah dan Johor sebelum ini berjaya melepasi sasaran jumlah pengunjung dengan masing-masing merekodkan 192,250 dan 152,186 orang.