KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian provokasi dan rempuhan terhadap anggota polis oleh peserta perhimpunan serta penyerahan memorandum di Jalan Parlimen hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata pihaknya mengesan video tular di TikTok yang memaparkan peserta perhimpunan melakukan provokasi dan merempuh anggota polis yang bertugas.
“Satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan seorang pegawai polis mengalami kecederaan akibat rempuhan tersebut dan telah mendapatkan rawatan.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 353/427 Kanun Keseksaan,” tambahnya.
Fadil menegaskan pihak polis menghormati hak rakyat untuk menyuarakan pandangan serta berhimpun secara aman dan tertib selaras dengan nilai demokrasi negara.
“Peruntukan ini adalah di bawah Perlembagaan Persekutuan dan seharusnya digunakan secara baik dan berhemah,” katanya.
Beliau memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau kumpulan yang mencetuskan kekacauan atau provokasi melampau.
Polis juga komited untuk memainkan peranan sebagai pemudah program perhimpunan yang diadakan secara tertib. – Bernama