KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, berhubung kenyataannya yang mendakwa pensijilan halal berpotensi menambah beban para peniaga dan memalukan negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan itu, dilaksanakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Razarudin berkata siasatan akan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) melibatkan isu berkaitan raja, agama dan kaum (3R).

“Setakat hari ini, sebanyak lima laporan polis telah diterima dan semua saksi termasuk pemimpin berkenaan akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau turut menasihatkan semua rakyat Malaysia agar tidak mengeluarkan kenyataan atau membalas kenyataan yang boleh mengapi-apikan hubungan antara kaum dan mencetuskan kegentaran awam.

Razarudin berkata walaupun kebebasan memberikan pendapat itu dibenarkan mengikut Perlembagaan Persekutuan, namun ada had atau batasannya.

“...semua masyarakat perlu menghayati prinsip rukun negara,” katanya.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum ini dilapor mempertimbangkan cadangan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Bagaimanapun, Kok kemudian dilapor menyatakan cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan seperti itu mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan, termasuk membabitkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri program di Seremban, Negeri Sembilan menasihatkan pihak yang ada cadangan dan prihatin berkaitan pensijilan halal, supaya membawa perkara itu untuk dibincangkan dalam mesyuarat untuk diteliti.