IPOH: Polis giat memburu suspek kes curi sebuah kenderaan di sebuah taman perumahan di Jelapang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard berwarna hitam yang diletakkan di pekarangan rumah mangsa, pada 4.19 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pengadu berusia 43 tahun itu telah meletakkan MPV itu dalam kawasan rumahnya dan berada dalam keadaan baik.

“Mangsa melihat kenderaan miliknya dibawa lari oleh seorang lelaki dan kita telah buka kertas siasatan mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan iaitu mencuri kereta,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru saksi yang mempunyai maklumat agar hadir ke balai polis berdekatan untuk memberi keterangan.

Terdahulu tular video berdurasi 15 saat milik seorang pengguna TikTok yang memaparkan detik cemas apabila Toyota Alphard miliknya dipandu keluar secara mengundur dari pekarangan rumahnya oleh individu tidak dikenali.

Video terbabit memaparkan wanita itu tidak berdaya berbuat apa-apa kerana bimbang diancam bahaya dan pencuri tersebut dipercayai menggunakan alat khas kawalan jauh yang dibawa bagi membuka pintu kenderaan sebelum melarikannya dalam masa hanya kira-kira lima minit.