IPOH: Polis menahan lapan lelaki kerana disyaki mencuri kabel tembaga Telekom Malaysia (TM) di Jalan Keliling, Taman Canning di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata kesemua suspek berumur antara 18 hingga 36 tahun itu ditahan di Kampung Bharu di sini pada 3.30 pagi.

“Polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 31 tahun kira-kira 2.30 pagi yang ternampak sebuah kenderaan pacuan empat roda telah membuka mainhole di atas jalan dan menarik kabel sepanjang 300 meter.

“Pengadu telah menghubungi pihak polis dan apabila suspek menyedari kehadiran pengadu mereka terus melarikan diri dengan menggunakan dua lagi kenderaan iaitu Perodua Axia dan Myvi,“ katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi kejadian di Taman Canning di sini hari ini.

Azizi berkata pihaknya merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel berkenaan dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Azizi berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan hasil semakan rekod terhadap semua tangkapan mendapati tujuh daripadanya memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Dalam pada itu, Azizi berkata polis telah membuka sebanyak 247 kertas siasatan membabitkan kejadian kecurian kabel syarikat telekomunikasi dan Tenaga Nasional Berhad sepanjang tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

“Kesemua kebel yang dicuri ini dipercayai dilupuskan di kedai-kedai second hand dealer yang berlesen dan tidak berlesen.

“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pembeli kabel yang dicuri termasuk mengambil tindakan membatalkan lesen perniagaan second hand dealer sekiranya didapati pengusaha-pengusaha ini terlibat,“ katanya.