BALIK PULAU: Polis telah memperoleh beberapa maklumat baharu mengenai kes lelaki yang didakwa pergi bekerja ke Thailand sebelum diculik sehingga ibunya terpaksa membayar wang untuk menyelamatkannya daripada sindiket penipuan pekerjaan bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam menyatakan pihaknya tidak dapat mendedahkan maklumat tersebut secara terperinci kerana siasatan lanjut masih dijalankan.
Beliau berkata polis sedang mengesan lelaki yang dilaporkan hilang itu dan percaya dia masih berada di dalam negara kerana tiada rekod perjalanan ke luar negara sejak 2019.
Polis juga sedang mengesan pemilik akaun e-dompet antarabangsa yang digunakan untuk transaksi oleh ibu mangsa bagi pembayaran wang yang dituntut sindiket.
Sazalee menegaskan kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 347 dan 384 Kanun Keseksaan.
Siasatan polis terdahulu mendapati lelaki itu tidak pernah ke luar negara sejak 21 Oktober 2019 dengan kali terakhir ke China pada 13 Oktober 2019.
Polis membuka kertas siasatan selepas ibu mangsa membuat laporan kerana bimbang akan keselamatan anaknya.
Media sebelum ini melaporkan lelaki berkenaan dikenali sebagai Lai berusia 25 tahun yang bekerja sebagai kontraktor ubah suai dipercayai diculik sindiket penipuan kerja di Thailand.
Ibunya yang ingin dikenali sebagai Rose berusia 52 tahun mula berkomunikasi dengan sindiket pada 16 September lepas setelah menerima mesej meminta wang tebusan.
Wanita itu mendakwa hanya sempat mendengar suara anaknya sebentar ketika panggilan dibuat di bawah kawalan sindiket.
Dia membuat bayaran pertama sebanyak 5,000 dolar Amerika bersamaan 23,500 ringgit selepas menerima ancaman.
Bayaran kedua berjumlah 8,000 dolar Amerika bersamaan 37,600 ringgit dibuat sebelum sindiket menuntut tambahan 2,000 dolar Amerika bersamaan 9,400 ringgit. – Bernama