Your Title

IPOH: Polis giat mengesan seorang lelaki dipercayai memecah tabung surau di Kampung Tawas di sini pada 21 Jan lepas, setelah video yang memaparkan kejadian itu tular menerusi laman sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata laporan diterima berhubung kes berkenaan pada 3.03 petang melalui ahli jawatankuasa surau terbabit.

Beliau berkata hasil semakan daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki telah memotong mangga tabung dengan menggunakan mesin pemotong besi dan mengambil kesemua wang tunai di dalam tabung itu.

“Kerugian dianggarkan bernilai RM150, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Abang Zainal Abidin berkata beliau meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.