REMBAU: Polis menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang warga emas yang hilang selepas keluar dari rumahnya di Batu 4, Kampung Air Melintang di sini pada pagi Isnin, setelah empat hari pencarian.
Ketua Polis Daerah Rembau Supt Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata operasi mencari Mohd Mahat Said, 78, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal itu ditamatkan pada 1.30 tengah hari semalam.
Beliau berkata pelbagai usaha dilakukan pasukan SAR termasuk menggunakan khidmat anjing pengesan (bomba dan polis), pasukan tentera dari 1 Briged dan Pasukan Gerakan Am namun tiada sebarang petunjuk baharu ditemukan.
“Radius pencarian diperluaskan hingga 1 kilometer dari rumah warga emas itu dan turut menggunakan dron pengesan haba badan namun gagal menemukan petunjuk baharu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sementara itu, anak mangsa, Roslina Mohd Mahat, 39, berkata meskipun bapanya masih belum ditemukan mereka sekeluarga tidak akan berhenti berharap dan meneruskan pencarian bersama ahli keluarga yang lain.
“Ramai yang datang menghulurkan bantuan termasuk pengamal perubatan alternatif tetapi kami sekeluarga mengambil langkah berhati-hati kerana bimbang ada yang ingin mengambil kesempatan,” katanya.
Roslina turut meminta orang ramai yang pernah melihat atau mempunyai maklumat mengenai bapanya untuk memaklumkan di talian 012-6035785 atau lapor di mana-mana balai polis berdekatan.
Pada Isnin lepas, seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang di Rembau selepas keluar dari rumah sebelum disedari anaknya dan membuat laporan kira-kira 5 petang.