• 2025-10-09 08:54 PM

BENTONG: Polis Diraja Malaysia menjangkakan kira-kira 2.1 juta kenderaan akan berada di jalan raya seluruh negara bermula 18 Oktober ini sempena cuti perayaan Deepavali.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata Op Lancar akan dilaksanakan dari 17 hingga 21 Oktober bagi memastikan kelancaran trafik.

“Fokus operasi adalah untuk memastikan aliran trafik lancar, terutama di lebuh raya, jalan bandaran dan jalan persekutuan selain kawasan tumpuan pelancongan.”

“JSPT juga akan segera membantu pengguna jalan raya yang terlibat dalam kemalangan bagi mengelak kesesakan,” katanya selepas menghadiri program menembak bersama media di Lapang Sasar Ibu Pejabat Polis Bentong.

Perayaan Deepavali akan disambut pada 20 Oktober.

Mohd Yusri berkata sebanyak 500 anggota JSPT akan ditugaskan di seluruh negara meliputi lebuh raya utama dan lokasi hotspot trafik.

Beliau berkata pihaknya menunggu arahan lanjut daripada Kementerian Pengangkutan berhubung larangan perjalanan kenderaan perdagangan di lebuh raya utama.

Kementerian Pendidikan memperuntukkan cuti tambahan sekolah antara satu hingga dua hari menjadikan tempoh cuti panjang antara lima hari bagi murid di Semenanjung.

Murid di Sarawak akan menikmati cuti panjang selama empat hari bermula 17 hingga 22 Oktober. – Bernama